• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Terengganu Beralih Ke Fasa 2 PPN Isnin Ini

KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Terengganu adalah antara lima negeri yang berjaya mencapai ketiga-tiga nilai ambang sekali gus akan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 5 Julai ini.

Pengumuman positif itu dibuat oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyenaraikan Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis antara negeri yang terlibat dalam fasa seterusnya.

Beliau mengumumkan perkara itu pada sidang media bersama pada sidang akhbar khas bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan kecuali pergerakan guru sekolah dan pelajar yang mengikuti kelas-kelas peperiksaan dalam fasa kedua.

“Pergerakan rentas negeri dan daerah oleh pasangan jarak jauh untuk fasa dua kita benarkan kepada mereka tetapi hanya dalam kes kecemasan dan keperluan asas,” katanya.

Tiga indikator perlu dipatuhi bagi membolehkan peralihan kepada Fasa Dua PPN iaitu purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.