Terengganu Beralih Ke Fasa 3 PPN Jumaat Ini

KUALA TERENGGANU, 15 September - Terengganu akan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa 17 September, Jumaat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran diberikan sama seperti negeri memasuki Fasa 3 PPN sebelum ini seperti Perlis, Negeri Sembilan dan Sarawak.

"Prosedur operasi standard (SOP) terkini akan dikemaskini oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) di laman sesawang www.mkn.gov.my," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan rakyat supaya tidak mengambil mudah dan terus patuh pada SOP untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

"Orang ramai mula mengabaikan SOP ditetapkan kerajaan susulan kelonggaran SOP diumumkan kerajaan baru-baru ini.

"Kesediaan Kerajaan membenarkan lebih banyak kelonggaran tidak bermakna kita sudah boleh mengabaikan langkah-langkah keselamatan yang diamalkan selama lebih setahun ini," katanya lagi.

Beliau juga mengharapkan agar kelonggaran ekonomi yang diberikan ini dapat dimanfaatkan oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.

Perkara tersebut turut disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak yang terdahulu mengingatkan kepada seluruh warga negeri agar terus berdisiplin dalam pematuhan SOP dan tidak mengambil mudah terhadap kelonggaran tersebut.

“Saya menasihati kepada semua bahawa peralihan fasa ini bukan bermakna tiada risiko virus, anda masih lagi boleh dijangkiti dan menjangkiti, walaupun telah lengkap suntikan. Kelonggaran ini adalah lebih menjurus kepada keperluan ekonomi," jelasnya.