• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Berdepan Risiko Banjir Kali Kedua

KUALA TERENGGANU, 15 Disember – Gelombang kedua banjir berkemungkinan melanda Terengganu berikutan risiko limpahan air laut dan hujan lebat sehingga Khamis ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata ia merujuk kepada ramalan cuaca semasa dan keadaan angin kencang yang sedang berlaku.

“Ramalan cuaca semasa menunjukkan cuaca tekanan rendah yang terbentuk di perairan barat Sarawak sedang menghampiri perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang mulai Rabu dan berakhir Jumaat ini.

“Senario itu berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan di kebanyakan tempat di negeri ini sekali gus meningkatkan risiko banjir,” katanya di sini hari ini.

Katanya, sistem cuaca tekanan rendah yang terbentuk di perairan barat Sarawak dijangka bergerak ke arah barat menghampiri kawasan perairan pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula esok.

"Seterusnya, sistem ini dijangka merentasi kawasan utara Semenanjung menuju ke Laut Andaman pada 17 Disember 2021.

“Manakala, Stesen Cerapan Kemaman juga meramal paras air laut bakal mencecah 2 meter hingga meter sehingga lusa,”ujarnya.

Tambah beliau lagi, aras air laut di Kuala Terengganu pula dijangka mencapai 2.1 meter dan 2.3 meter dalam tempoh sama.

“Sehubungan itu, penduduk di pesisir pantai dan kawasan rendah di negeri ini dinasihat berwaspada dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir sepanjang tempoh berkenaan,” kata Mohd Rosman.