• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Berjaya Kumpul RM1.3 Juta Bantu Turkiye

KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Terengganu berjaya mengumpulkan jumlah sumbangan sebanyak RM1.3 Juta untuk membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata jumlah tersebut melebihi sasaran ditetapkan.

Katanya, ia terdiri daripada hasil sumbangan rakyat Terengganu melalui Tabung Terengganu For Turkiye dan NGO Pasrelief.

"Hasil kedua-dua tabung tersebut berjumlah RM588,067 dan RM745,650.

“Terengganu juga merupakan negeri yang paling banyak menyumbang untuk mangsa gempa bumi tersebut.

“Terbukti rakyat Terengganu sangat perihatin, cakna dan pemurah walaupun mereka bukan kalangan kaya namun mempunyai sifat yang kaya dengan hati serta dermawan dalam menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penyerahan Kutipan Derma Tabung Terengganu For Turkiye Sempena Misi Kemanusiaan ke Turkiye bertempat di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Tambah Wan Sukairi, pihak kerajaan negeri juga telah membentuk satu rombongan dalam menghantar dana tersebut pada 17 Mac nanti iaitu pada hari Jumaat ini.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan Terima kasih kepada semua penyumbang yang terdiri daripada Jabatan-Jabatan, Anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC), agensi-agensi dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terlibat," katanya.

Terdahulu, pada 6 Februari 2023, sebuah gempa bumi besar telah melanda sebahagian Turkiye dan Syria serta telah mengorbankan sebanyak lebih 40 ribu nyawa dan lebih 100,000 orang mangsa yang cedera.

Difahamkan, keseluruhan mangsa yang terjejas seramai 23 Juta termasuk 7.1 Juta orang kanak-kanak di dua negara tersebut.

 


Tag: