• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Terengganu Berpesta Gol Benam Kedah 5-1

Foto oleh - Terengganu FC Futsal Team.
KUALA TERENGANU, 11 September - Terengganu FC Futsal Team meneruskan rentak kemenangan selepas membenam cabaran Kedah dengan jaringan 5-1 dalam aksi Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) di Stadium Negeri Terengganu, semalam.

Terengganu yang turun beraksi di halaman sendiri terpaksa menunggu sehingga minit ke-19 untuk mencetak jaringan pertama menerusi pemain tengah, Muhammad Alif Mat Amin sekali gus menggamatkan kira-kira 350 peminat setia.

Jaringan itu terhasil menerusi serangan balas hasil umpanan cantik Haziq Shahiran Marzuki dari sebelah kiri pintu gol pasukan pelawat.

Skuad kendalian Mohd Rozairi Ahmad terus mengasak untuk mendapatkan jaringan kedua, namun keampuhan benteng skuad Helang Merah menafikan hajat Terengganu.

Bersambung separuh masa kedua, Terengganu menggandakan jaringan menerusi tolakan mengelirukan Mohd Hafizi Ismail dalam kotak penalti pada minit ke-24 hasil hantaran kapten, Amirrul Izzad Adang.

Sembilan minit kemudian, kombinasi serangan balas Mohd Hafizi dan Amirrul Izzad terus menjadi pemusnah Kedah apabila gandingan mereka disempurnakan Mohd Hafizi untuk meledak gol kedua peribadinya sekali gus menjadikan kedudukan 3-0.

Skuad TFCFT.
Namun kegembiraan itu tidak lama apabila pelawat yang dibimbing Samsul Abd Latiff berjaya menghasilkan jaringan pertama berselang seminit menerusi rembatan kencang Muhammad Nazren Ramli.

Bagaimanapun, jaringan tersebut tidak mematahkan semangat Terengganu untuk menambah gol keempat apabila Azlan Nasti Azwar mudah menolak masuk hasil hantaran silang Muhammad Alif pada minit ke-35.

Muhamad Alif terus menambah derita pelawat apabila meledak jaringan kelima pasukannya yang juga gol kedua peribadinya melalui rembatan kencang dari luar kotak penalti yang gagal ditepis penjaga gol, Muhammad Nashrul Helmy Rusdi pada minit ke-36.

Dengan kemenangan itu, Terengganu kini mengumpul 21 mata di kedudukan keempat liga manakala Kedah kekal di tangga kedua tercorot dengan mengutip 12 mata.

Skuad Terengganu akan bertandang ke Shah Alam pada 15 September ini bagi berhadapan dengan pendahulu liga, Selangor di Stadium Panasonic.

Muhammad Alif Mat Amin dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.



Tag: