• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Buka PKRC Baharu Di Stadium Tertutup Gong Badak

KUALA TERENGGANU, 26 September- Sebuah lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC)baharu dibuka di stadium dan mula beroperasi pada hari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato' Dr Kasemani Embong berkata PKRC Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus itu boleh memuatkan 1,200 katil dan tempat ini mempunyai kemudahan sesuai buat pesakit serta petugas.

"Pembukaan PKRC baharu ini bukanlah bermaksud situasi COVID-19 di Terengganu semakin teruk.

"Sebaliknya ia dibuka susulan penutupan tiga PKRC di Institut Pengajian Tinggi Awam yang kini dalam proses persediaan menerima kemasukan pelajar untuk sesi pembelajaran secara bersemuka bermula 15 Okt depan," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Tiga PKRC yang ditutup secara berperingkat sejak bulan lepas ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering di sini, Universiti Malaysia Terengganu di Kuala Nerus dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan di Besut. 

Dalam pada itu, Dr Kasemani turut memaklumkan seramai 138,100 remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Terengganu layak menerima vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Daripada jumlah itu, seramai 101,000 remaja adalah pelajar sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan pelajar sekolah swasta. Setakat semalam, kita telah memberi suntikan kepada 30,494 orang remaja. Kesemua mereka ini akan menerima suntikan vaksin dos pertama selewat-lewatnya 6 Okt depan," katanya.

Jelas beliau, kesemua mereka yang layak akan menerima suntikan vaksin dos pertama selewat-lewatnya 6 Oktober depan.