• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Cadang Buka PPV di Kawasan Kampung

KUALA TERENGGANU, 7 Jun - Kerajaan negeri bercadang menambah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan pendalaman di negeri ini bagi memudahkan orang ramai terutama warga emas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) mendapat suntikan vaksin.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata ia akan digerakkan dengan ‘mobile team’ dalam tempoh terdekat melibatkkan 50 pakar klinikal.

Katanya, langkah itu pada masa sama mampu menyedarkan orang ramai tentang kepentingan vaksin yang sebelum ini sering dimomokkan dengan pelbagai hasutan, termasuk mendapat pelbagai penyakit dan boleh mati mengejut.

“Sehingga 5 Jun, seramai sekitar 85,000 penduduk Terenggganu direkodkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mendapat suntikan dos pertama dan suntikan dos kedua pula lebih 50,000 orang.

“Angka itu masih rendah berbanding negeri lain. Oleh itu, kerajaan negeri dibantu JKNT dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan terus berusaha membantu menyedarkan rakyat termasuk termasuk membuat hebahan melalui pelbagai saluran,”  katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung melalui TV Darul Iman, pagi ini.


Tag: