• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terengganu Capai 40 Peratus Lengkap Vaksin

KUALA TERENGGANU, 21 Ogos – Kadar pemvaksinan di Terengganu telah mencapai 40 peratus bagi dos kedua dalam kalangan populasi dewasa semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKVAV).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak walau bagaimanapun berkata, orang ramai dinasihatkan untuk terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) walaupun telah menerima lengkap disuntik.

Ini kerana katanya, individu yang disuntik masih lagi berisiko untuk dijangkiti.

“Yang paling penting, ini bukan nak membimbangkan saudara-saudari, tapi kita tidak kebal, suntikan vaksin kalau dijangkiti hanya mampu mengurangkan kesan gejala (kategori 1 dan 2) dan akan sembuh melalui kuarantin sehingga 14 hari.

“Sentiasa patuh SOP elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat, amalkan 3W (Amalkan Wash, Wear dan Warn) serta sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI.

Terdahulu, Terengganu dijangka beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) September ini, kata Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sebelum ini, indikator bagi membolehkan peralihan ke Fasa 3, adalah usaha vaksinasi dua dos perlu mencapai kadar 40 peratus, penggunaan Unit Rawatan Rapi (ICU) di tahap selamat, dan kes harian COVID-19 berada di bawah angka 2,000.