• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Capai Sasaran Tanam Satu Juta Pokok

KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan negeri berjaya menanam satu juta pokok di seluruh Terengganu menerusi Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok sejak 2021 sehingga kini.

Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya sentiasa komited menyokong usaha positif untuk mengekalkan khazanah hutan negeri terus kekal dan dipelihara.

"Tahniah dan syabas kepada Jabatan Perhutanan kerana berjaya mencapai melebihi sasaran tanaman bagi tahun 2021 dan 2022.

"Untuk tahun 2023, kita menetapkan sasaran lebih tinggi iaitu 500,000 pokok bakal ditanam di Terengganu dalam setahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 peringkat negeri Terengganu di Dewan Batu Bersurat, Lembaga Muzium Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pengarah Perhutanan negeri, Roslan Rani.

Sementara itu, Roslan berkata aktiviti penanaman pokok sentiasa menjadi agenda utama sambutan Hari Hutan Antarabangsa setiap tahun.

Tambah beliau, pada kali ini lebih 3,000 pokok telah ditanam di sekitar Muzium Negeri melibatkan lima hektar bermula 18 hingga 20 Mac 2023.

"Antara spesies pokok hutan yang ditanam adalah Merawan Siput Jantan, Chengal, Balau, Keruing, Meranti Sarang Punai, Meranti Tembaga dan Kelat Paya.

"Terdapat juga pokok buah-buahan seperti Manggis, Mata Kucing, Durian Belanda dan Nona," katanya.