• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Catat Kesalahan Merokok Tertinggi

KUALA TERENGGANU, 26 Oktober - Terengganu mencatatkan pengeluaran notis kesalahan tertinggi berkaitan merokok di premis makanan dengan sejumlah 652 notis sehingga 24 Oktober tahun ini.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, empat negeri lain dengan notis pengeluaran tertinggi diikuti dengan Pahang (601 notis), Sarawak (365 notis), Perak (356 notis) dan WP Kuala Lumpur (303 notis).

“Secara keseluruhan, aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di seluruh negara telah dijalankan sepanjang tahun 2021. Sejak Januari hingga 24 Oktober 2021, sebanyak 3,419 notis kesalahan di tempat makan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 32B, PPKHT 2004.

“Kementerian Kesihatan Malaysia telah mempergiatkan lagi aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan khususnya selepas peralihan fasa pemulihan negara dan kebenaran makan di tempat makan telah diberikan oleh kerajaan.

“Antara contoh kesalahan lain seperti notis dikenakan ke atas tuan punya premis kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan memastikan tiada orang merokok di premis masing-masing serta bagi kesalahan merokok di kompleks membeli belah,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegasnya, larangan merokok bukan bertujuan untuk menghukum golongan perokok tetapi ia dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat merokok kepada golongan perokok serta golongan perokok pasif iaitu mereka yang berada di sekeliling.

“Penguatkuasaan larangan merokok sangat penting dalam memastikan negara bersedia beralih ke fasa endemik selaras dengan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa aktiviti merokok termasuk penggunaan rokok elektronik boleh meningkatkan risiko untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk sekiranya dijangkiti COVID-19.

"Pelaksanaan ini juga penting terutama ketika negara masih berhadapan dengan pandemik COVID-19, kita sentiasa membantu golongan perokok untuk berhenti merokok.

“Pendaftaran ke perkhidmatan berhenti merokok mQuit boleh dibuat melalui laman sesawang www.jomquit.com,” katanya lagi.

Terdahulu, semua tempat makan termasuk restoran berhawa dingin dan tempat makan terbuka telah diwartakan sebagai tempat dilarang merokok di bawah Peraturan 11(1)(d), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 berkuatkuasa 1 Januari 2019 di seluruh negara.