• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Dijangka Beralih Ke Fasa 3 Akhir Bulan Ini

KUALA TERENGGANU, 29 Ogos – Terengganu dijangka akan beralih ke fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada hujung bulan ini selepas proses vaksinasi hampir mencapai 80 peratus bagi penerima dos pertama dan 45 peratus dos kedua.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan bersama Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan melihat kepada nilai ambang peralihan fasa seterusnya PPN.

“Selewat-lewatnya jangkaan kita akan beralih pada September hadapan,” katanya ketika ditemu bual pemberita, petang tadi.

Namun begitu, Dr Alias mengingatkan kepada seluruh warga negeri agar terus berdisiplin dalam pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tidak mengambil mudah terhadap kelonggaran tersebut.

“Saya menasihati kepada semua bahawa peralihan fasa ini bukan bermakna tiada risiko virus, anda masih lagi boleh dijangkiti dan menjangkiti, walaupun telah lengkap suntikan. Kelonggaran ini adalah lebih menjurus kepada keperluan ekonomi," jelasnya.

Tambah beliau, hasil vaksinasi di Terengganu menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya mengurangkan kes serius COVID-19 yang tergolong dalam kategori 3, 4 dan 5, meskipun kes harian kekal tiga angka.

“Kes kategori sederhana dan teruk ini masih di bawah satu peratus, kebanyakkan yang positif adalah mereka yang tiada gelaja atau bergejala ringan,” jelasnya lagi.