• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Hujan Lebat Dijangka Landa Terengganu Akhir Bulan Ini

KUALA TERENGGANU, 12 Oktober -Terengganu dijangka dilanda hujan lebat ketika musim Monsun Timur Laut mulai akhir Oktober ini dan boleh menyebabkan berlakunya banjir di kawasan rendah.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri, Hanafiah Mat, berkata, Monsun Timur Laut pada kali ini dijangka menyebabkan peningkatan hujan sebanyak 20 hingga 40 peratus daripada biasa.

Katanya, secara purata kebiasaannya taburan hujan sepanjang tahun di Terengganu sekitar 3,000 milimeter (mm) namun tahun ini dijangka mencecah  hingga 3,600 mm. 

"Setakat ini taburan hujan yang telah turun hampir 2,000 mm dengan kadar hujan yang turun dalam sehari sekitar 80 mm. 

"Jika taburan hujan turun dalam 300 hingga 400 mm sehari, situasi banjir  mungkin akan berlaku seperti di Gunung Jerai iaitu berlakunya banjir disebabkan kepala air," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penghantaran Barangan Ke Pengkalan Hadapan Pulau Redang,di Jeti LKIM, Chendering, hari ini.

Dalam program tersebut, sebanyak empat metrik tan bekalan makanan dihantar ke Pulau Redang sebagai persediaan menghadapi banjir.

Katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, bekalan keperluan makanan akan dihantar ke kawasan itu hanya mencukupi untuk tempoh tiga hingga lima hari.

"Jika bekalan itu tidak mencukupi, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan melakukan penghantaran bekalan fasa kedua," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri juga telah diadakan sebelum tiba musim tengkujuh untuk memastikan semua pihak bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

Tambahnya, kerajaan negeri juga menyediakan prosedur operasi standard (SOP)  pengurusan mangsa di PPS bagi menghadapi banjir sepanjang pandemik Covid-19.

"Bilik khas saringan awal akan disediakan di PPS bagi menempatkan mangsa banjir bergejala dari zon merah atau terdedah kepada pesakit Covid-19, manakala petugas kesihatan akan berada di PPS.

"Bagaimanapun, sekiranya didapati positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk rawatan," ujarnya.