• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

KUALA NERUS, 10 Ogos- Terengganu Football Club (Terengganu FC) tewas tipis 1-2 kepada Johor Darul Ta'zim (Johor DT) pada saingan Liga Super Malaysia, sebentar tadi.

Berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Harimau Selatan yang turun dengan skuad utama jelas mendominasi permainan berdepan Sang Penyu yang kehilangan khidmat Mohd Faisal Halim, Manuel Ott dan Tcheche Kipre.

Pada minit ke-11, Terengganu FC terlebih dahulu mencemaskan kubu lawan apabila Nik Sharif Haseefy mendapat peluang terbuka di depan gawang setelah menerima lorongan Kpah Sherman, namun tidak berjaya disudahkan dengan baik.

Pada minit ke-29, penjaring terbanyak JDT, Bergson Da Silva hampir meledak jaringan pertama tetapi rembatan leretnya diselamatkan tiang gol.

Dua minit kemudian, hantaran jauh Afiq Fazail berjaya disudahkan Bergson yang melepasi perangkap offside untuk meletakkan pelawat di depan.

Johor DT terus-menerus mengancam pintu gol tuan rumah, Fernando Forestieri nyaris menjarakkan kedudukan dengan rembatan dari luar kotak penalti tetapi diselamatkan Rahadiazli pada minit ke-33.

Terengganu FC ketinggalan satu gol sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk meledak gol kedua.

Pada minit ke-47, Forestieri berjaya menggelecek dua pertahanan sebelum menewaskan Rahadiazli dengan rembatan dari luar kotak penalti.

Sang Penyu kembali bangkit merapatkan jurang pada minit ke-50 setelah Hakimi Abdullah menjaringkan gol cantik menerusi sepakan percuma.

Pada minit ke-75, pemain tengah Johor DT yang telah mengutip kad kuning pada separuh masa pertama, Hong Wan melakukan bentesan keras ke atas Syafik Ismail.

Bagaimanapun, pengadil perlawanan, Mohd Hasrol Mohd Amir tidak menghadiahkan sebarang kad kepada Wong Han atas kesalahan tersebut.

Memasuki 10 minit terakhir, perlawanan berlangsung semakin panas dengan lebih banyak kekasaran berlaku.

Namun, keputusan kekal sehingga separuh masa kedua ditamatkan.

Terengganu FC jatuh ke kedudukan keeenam dengan 17 mata daripada 13 perlawanan.

 

 

 


Tag: