• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Terengganu FC II Impi Kekal Rekod Tanpa Kalah

KUALA TERENGGANU, 6 April- Pengendali Terengganu Football Club (Terengganu FC) II, Badrul Afzan Razali berharap pasukannya akan terus mengekalkan rekod tanpa kalah menjelang pertemuan dengan Perak II, petang ini.

Beraksi di gelanggang lawan, beliau jelas mahu anak-anak buahnya tetap bersemangat untuk mencari kemenangan dan mengambarkan perubahan kesebelasan utama dalam perlawanan itu.

"Kita kehilangan Masaki (Watanabe) dalam perlawanan ini, jadi mungkin kita akan ubah 'line-up' berdepan Perak II," katanya.

Terdahulu, Terengganu FC II jatuh ke kedudukan kelima Liga Premier apabila sekadar seri 1-1 dengan pasukan kedua tercorot, PDRM dalam akis di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Sabtu lalu.

Dalam perlawanan itu, kelekaan tuan rumah apada awal separuh masa kedua memakan diri sehingga membuka ruang kepada skuad ‘Sang Saka Biru’ menyamakan kedudukan pada minit ke 49 melalui tandukan Alexander Amponsah. 

Terengganu FC II sebelum itu menunjukkan aksi yang baik pada separuh masa pertama dengan meledakkan gol pendahuluan pada minit 35 melalui sepakan dalam kotak penalti Mohammad Ramzi Sufian.

"Bagi saya, masa pertama pemain bermain dengan baik, tetapi kita hilang kosentrasi pada minit awal masa kedua, menyebabkan kita terkena gol mudah dan mereka menghukum kita dengan hilang mata ditempat sendiri.

“Saya selalu ingatkan pemain 10 minit terawal sama ada separuh masa pertama atau kedua, perlu fokus. Kita mempunyai peluang tetapi tidak menyempurnakannya dengan baik," kata Badrul.

Skuad 'feeder' itu kini telah merekodkan lima keputusan seri selepas merakam kemenangan 4-0 ke atas skuad Projek FAM-MSN iaitu bertemu Kuching City FC (1-1), Negeri Sembilan (2-2), Kelantan FC (0-0), Sarawak United (0-0) dan PDRM (1-1).

Tidak mahu kelekaan terus menghantui anak-anak buahnya, Badrul mengharapkan aksi lebih baik dalam perlawanan ini.

"Harapan saya, Jordan Mintah kembali ke pasukan dan dapat menaikkan semangat pemain lain untuk mencari kemenangan, bagi saya Christopher Herd memberikan motivasi kepada pasukan dengan pengalamannya, tetapi mungkin kerana masalah kecergasan, impaknya tidak ketara pada perlawanan sebelum ini," katanya.


Tag: