• 26 Sept 2021 | 18 Safar 1443

Terengganu FC II Rampas Takhta Liga Premier

KUALA TERENGGANU, 11 Ogos- Terengganu Football Club (Terengganu FC) II merampas kedudukan teratas Liga Premier Malaysia 2021 setelah seri 0-0 dengan Perak FC II, malam ini.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), di sini bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan saling menguasai bola dan melancarkan serangan berintensiti tinggi.

Bagaimanapun, pelawat terlebih dahulu mengancam kubu tuan rumah apabila Ghislain Guessan mempamerkan gelecekan menarik pada minit ke-21 melepasi pertahanan Terengganu FC untuk berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.

Mujur Nasrulhaq pantas menepis kuisan penyerang kelahiran Perancis itu keluar.

Sebagai respon, The Turtle bangkit menyerang.

Rembatan Rahmat Makasuf dari luar kotak penalti ditampan pertahanan Perak FC II pada minit ke-31.

Tujuh minit kemudian, Argzim Redzovic hampir memecah kebuntuan jaringan, namun tandukannya hasil sepakan bebas Amirul Syazwan ditepis penjaga gol, Ahmad Syazwan Syazany dan meniti di atas palang gol sebelum keluar.

Pada minit-minit akhir separuh masa, skuad kendalian Syamsul Saad sekali lagi memiliki peluang terbaik selepas Khairul Syafiq bijak menggelecek pertahanan Terengganu FC II.

Namun, rembatannya dinafikan kecemerlangan Nasrulhaq mengawal gawang.

Bersambung babak kedua, Perak FC II lebih banyak menjana serangan sambil Terengganu FC II memberi tumpuan bertahan dan melancarkan serangan balas.

Peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-57 apabila pemain tengah Perak FC II, Royyizat Daud membentes Amirul Syazwan dalam usaha mengeluarkan bola dari kotak penalti.

Pengadil perlawanan, Mohamad Izzat Izaini menghadiahkan penalti kepada Terengganu FC II pada minit ke-57.

Sayangnya, Muhammad Izzan Syahmi mensia-siakan peluang tersebut setelah rembatannya ditepis Syazwan Syazany dan tertampan ke tangannya.

Perlawanan terus berlangsung hangat dengan kedua-dua pasukan cuba mencari tiga mata.

Bagaimanapun, keputusan kekal 0-0 sehingga tamat perlawanan.

Terengganu FC II kini berkongsi 29 mata bersama pencabar terdekat, Negeri Sembilan FC, namun mengungguli carta liga dengan kelebihan empat gol.

 


Tag: