• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Terengganu FC Kembali Kejar Puncak Liga

KUALA NERUS, 4 Mei- Terengganu Football Club (Terengganu FC) menepati jangkaan apabila menang mudah 3-0 ke atas UiTM FC, dalam aksi pertama pusingan kedua Liga Super Malaysia 2021, sebentar tadi.

Melayan kunjungan pasukan tercorot liga, anak-anak buah Nafuzi Zain tampil lebih yakin dengan meledakkan dua gol awal mengatasi lawan.

Seawal minit ke-8, David Da Silva yang mendapat umpanan Mohamad Faisal Abdul Halim bijak menggelecek dua pertahanan dalam kotak penalti sebelum melakukan rembatan yang menerjah jaring lawan.

Dua minit kemudian, Faisal pula menanduk masuk hantaran lintang Mohamad Hakimi untuk gol kedua Sang Penyu.

Tuan rumah cuba mendapatkan lebih banyak gol dengan meningkatkan asakan ke kubu pelawat namun, kali ini The Lion Troops ampuh bertahan.

Memasuki babak kedua, skuad kendalian Frank Benhardt cuba bermain lebih terbuka dan meningkatkan serangan.

Bagaimanapun, Terengganu FC jelas mendominasi perlawanan.

Pada minit ke-77, Mohamad Rahmat Makasuf yang masuk menggantikan Faisal menerima lorongan Konate, berjaya melarikan bola ke kotak penalti lawan dan melakukan rembatan leret lolos dari tampanan Muhammad Azfar Arif untuk gol ketiga Terengganu FC.

Keputusan kekal 3-0 sehingga tamat perlawanan.

Sang Penyu kini mendaki ke tangga kedua liga dengan 24 mata, tiga mata di belakang pendahulu, JDT yang menang ke atas Kedah Darul Aman FC di Alor Setar.


Tag: