• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu FC 'Kenduri' Seladang

KUALA NERUS, 24 Julai - Terengganu Football Club (Terengganu FC) memulakan kembali aksi ke-14 Liga Super 2021 setelah berehat panjang dengan melakar kemenangan besar 5-0 ke atas Perak FC, sebentar tadi.

Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), perlawanan dilangsungkan tanpa penonton berikutan seluruh negara berada dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sang Penyu yang melayan kunjungan Bos Gaurus mempamerkan aksi bermutu dengan meledak gol pertama pada minit ke-18 menerusi Faisal Halim yang menolak mudah hantaran lintang Faiz Nasir ke gawang lawan.

Dua minit berselang, pelawat dikejutkan lagi apabila Faisal Halim dijatuhkan oleh Rafiuddin Roddin dalam kotak D, menghadiahkan penalti kepada tuan rumah.

David Da Silva tenang menyempurnakan penalti untuk Terengganu FC terus di depan dengan 2-0 pada minit ke-22.

Perak cuba bangkit mencorak serangan ke kubu tuan rumah, tetapi pemain import baru Sang Penyu, Habib Haroon yang berganding bersama Dechi Marcel cemerlang membantu pertahanan.

Pada minit ke-41, Perak bolos lagi.

Kali ini hasil kesilapan pertahanan import, William Hew yang cuba mengeluarkan bola umpanan Faiz Nasir, tertampan bola ke gol sendiri.

David Da Silva yang mendapat umpanan Faisal pada minit ke-44 hampir mendapatkan gol keempat pasukan, tetapi tolakannya yang terlalu kuat selepas menggelecek penjaga gol, Hafizul Hakim menghantar bola ke tepi gawang.

Memasuki babak kedua, Perak cuba mencari gol dengan memasukkan penyerang, Ghislain Guessan, tetapi terus buntu memecahkan kubu tuan rumah.

Pada minit ke-55, Da Silva sekali lagi mensia-siakan peluang apabila sepakan leretnya tepat menuju tiang gol, sedangkan Hafizul telah tertewas.

Mendahului dengan tiga gol, Sang Penyu terus mengekalkan penguasaan bola dan berhasil mendapatkan gol keempat pada minit ke-70 menerusi hantaran lintang Rahmat Makasuf yang disempurnakan cantik oleh Mohd Hakimi Abdullah.

Perak cuba bangkit namun gagal memperoleh sebarang gol.

Terengganu FC pula terus menambah jaringan apabila pemain gantian, Nik Akif Syahiran dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit-minit akhir perlawanan.

Nik Akif menyempurnakan penalti untuk gol terakhir perlawanan dengan Terengganu FC menang lima gol tanpa bolos.

Sang Penyu kini berada di tangga kedua Liga Super dengan 30 mata, sama mata dengan pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang akan menentang UiTM FC, esok.

 

 

 

 


Tag: