• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

KUALA NERUS, 25 September- Terengganu Football Club (Terengganu FC) mudah menewaskan pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) 4-0 dalam aksi CIMB Liga Super Malaysia, sebentar tadi.

Melayan kunjungan pasukan di tangga terakhir liga di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Sang Penyu tidak menunggu lama untuk mendahului lawan.

Bermula dengan hantaran lintang kapten, Lee Tuck dari sebelah kanan padang ditanduk mudah penyerang, Faris Ramli untuk gol pertama pada minit ke lapan.

Perlawanan terus berlangsung dengan penguasaan bola oleh pasukan tuan rumah walaupun beraksi tanpa penyerang utama, Dominic Da Sylva yang cedera dan digantikan penyerang Terengganu FC II, Bruno Suzuki.

Pada minit ke-24, Faris dijatuhkan pertahanan The Cops, Ahmad Syahmi Shukri dalam kotak penalti, menghadiahkan penalti kepada tuan rumah.

Tendangan tersebut disempurnakan Lee Tuck untuk gol kedua pasukan, seminit kemudian.

Terengganu FC hampir menambah gol pada minit ke-39, tetapi tandukan pertahanan, Argzim Redzovic disahkan offside oleh pengadil.

Memasuki masa tambahan babak pertama, Lee Tuck berjaya memanfaatkan serangan terakhir pasukan apabila melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti melepasi kawalan penjaga gol, Mohamad Farzly Muhammad.

Tamat separuh masa pertama, skor 3-0 memihak kepada Terengganu FC.

Bersambung babak kedua, The Cops mengubah corak permainan dengan lebih banyak menguasai bola dan menyerang Sang Penyu.

Namun, Terengganu FC ampuh bertahan. Sebaliknya, tuan rumah pula berjaya mendapatkan gol keempat menerusi Faris Ramli.

Penyerang kebangsaan Singapura itu menanduk masuk m hantaran cantik Mohamad Arif Fadzillah Abu Bakar pada minit ke-74, melebarkan jurang gol kedua-dua pasukan.

Terengganu FC menoktahkan perlawanan dengan kemenangan dalam aksi kesembilan Liga Super 2020.

 

 

 

 


Tag: