• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

'Terengganu Fly Fishing Festival', Perkenal Sungai Berang Ke Mata Dunia

Maliaman melihat peralatan memancing.

HULU TERENGGANU, 29 Februari -Penganjuran 'Terengganu Fly Fishing Festival' bakal memperkenalkan Sungai Berang sebagai destinasi eko-pelancongan kepada seluruh kaki pancing dari dalam dan luar negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, ia dapat dibuktikan apabila lebih 100 peserta terdiri dari negara Amerika Syarikat, Filipina dan Great Britain menyertai pertandingan kali ini.

"Kehadiran mereka pastinya memberi peluang kepada komuniti setempat untuk memperkenalkan pelbagai spesis ikan air tawar di sini, dalam masa yang sama ia dapat menggalakkan komuniti untuk menceburi industri pelancongan sekali gus meningkatkan ekonomi rakyat.

"Program ini juga dilihat sebagai satu platform bagi mensasarkan sektor eko-pelancongan sebagai satu faktor yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan daerah dan negeri," katanya.
Berucap merasmikan festival.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Pengerusi Jawatankuasa  Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman merasmikan festival berkenaan di Dewan Komuniti Kampung Betong, di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Ab Rasid Jusoh, Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Normah Nik dan Pengerusi Kelab Terengganu Fly Fishing, Norhisyamuddin Abd Ghani.

Dalam pada itu, penganjur program, Christopher Mcilravy yang hadir sama memaklumkan, beliau terharu dengan sokongan daripada pihak kerajaan negeri dalam merancakkan lagi festival yang sudah memasuki siri ketiga itu.
Christopher teruja dengan keindahan sungai di Terengganu.

"Kita boleh melihat peningkatan peserta bermula sejak siri pertama, bermula dengan 32 orang kini sudah melebihi ratusan peserta.

"Kita juga ada wakil dari setiap negara luar termasuk media yang akan mempromosi dan menjadi pemerhati terhadap penganjuran ini," tambah beliau.

'Terengganu Fly Fishing Festival' akan berlangsung selama tiga hari bermula semalam dan akan berakhir esok.


Tag: