• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Gerak Awal Ligatkan Pelancongan Domestik

ALOR SETAR, 22 Mac - Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) telah mengerakkan usaha Program Jelajah Beautiful Terengganu “Pakat Maghi Teganu” untuk mempromosikan sektor pelancongan domestik negeri berkenaan.

Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, pihaknya dengan kerjasama Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Terengganu menjadikan Kedah sebagai negeri pertama dalam siri tersebut bagi kolaborasi Bisnes Dengan Bisnes (B2B).

“Sambutan hangat melibatkan 40 pemain industri terdiri daripada agensi pelancongan Terengganu kita bawa ke sini untuk membincangkan pakej-pakej sesuai bersama penggiat sektor di sini.

“Dengan harapan supaya pelancong dari negeri Kedah dapat datang ke Terengganu dan sebaliknya, dan peluang ini akan digunakan sebaiknya.

“Ia juga dilihat sebagai salah satu usaha untuk memulih dan merancakkan kembali industri pelancongan terutamanya dalam tempoh pasca Covid-19 selaras dengan inisiatif kerajaan yang membenarkan gelembung perjalanan domestik pelancongan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Jelajah Beautiful Terengganu “Pakat Maghi Teganu” di Hotel Grand Alora, petang kelmarin.

Tambahnya, peningkatan ketara dari segi kedatangan pelancong dari negeri Kedah dan negeri-negeri di sebelah utara adalah matlamat bagi pihaknya.

“Objektif utama adalah mewar-warkan tentang kelebihan dan keunikan negeri. Kita harapkan agensi terlibat dapat hasilkan pakej-pakej menarik untuk rakyat Kedah dan buat seluruh zon utara Malaysia.

“Peluang mengadakan lawatan pembelajaran produk-produk tarikan pelancongan yang terdapat di negeri Kedah ini sekali gus dapat dijadikan rujukan bagi menambah baik produk-produk tarikan yang ada di Terengganu,” ujarnya.

Siri Jelajah Beautiful Terengganu “Pakat Maghi Teganu” melibatkan penyertaan penggiat-penggiat industri pelancongan negeri yang terdiri daripada lapan pengusaha hotel, tiga agensi pelancongan, dua agensi kerajaan negeri serta pengusaha produk nasi dagang Terengganu.

Untuk maklumat lanjut, perkembangan aktiviti-aktiviti menarik pelancongan negeri Terengganu boleh didapati menerusi laman sosial rasmi media sosial seperti Facebook, Youtube, Instagram, Wechat, Weibo dan Telegram dengan nama BEAUTIFUL TERENGGANU MALAYSIA dan di twitter @trgtourism.