• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Gerak Sukarelawan Ke Rumah Bantu Daftar Suntik Vaksin

MARANG, 31 Mac - Kerajaan negeri menggerakkan kira-kira 300 sukarelawan dari rumah ke rumah dan tempat tumpuan awam bagi membantu orang ramai khususnya warga emas mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, sukarelawan yang terdiri daripada gabungan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) itu merupakan inisiatif kerajaan bagi meningkatkan kadar pendaftaran vaksin COVID-19 di negeri ini yang masih rendah.

Katanya, sukarelawan pendaftaran vaksin COVID-19 telah dilancarkan secara rasmi pada Isnin dan mula bergerak semalam.

"Warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit tidak aktif di luar, mereka hanya tinggal di rumah serta kurang mendapat maklumat.

"Jadi, sukarelawan daftar vaksin COVID-19 ini akan bergerak dari rumah ke rumah dan tempat tumpuan awam untuk bantu mereka daftar secara terus melalui dalam talian.

"Kita harap orang ramai dapat beri kerjasama jika sukarelawan ini datang ke rumah. Jika ragu-ragu boleh minta mereka tunjukkan kad pengesahan sukarelawan kerana setiap mereka diberi kad itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Perumahan Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing II yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Tapak RMM Bukit Gasing II, semalam.

Dr Alias berkata, selain mengunjungi rumah ke rumah pihaknya turut membuka kaunter pendaftaran di lokasi tumpuan ramai seperti pasar awam, pasar raya, pasar malam dan pasar pagi bagi memberi penerangan serta membantu masyarakat mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

Katanya, agensi seperti pejabat daerah dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebelum ini ada membantu memberi penerangan mengenai vaksin.

"Diharap dua strategi baharu ini dapat meningkatkan lagi jumlah pendaftaran vaksin COVID-19 di negeri ini," katanya.
 


Tag: