• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Terengganu Giat Kurangkan Penghasilan Sampah



Pengurusan sisa mampu panjangkan hayat tapak pelupusan.
KUALA NERUS, 24 Disember - Kerajaan Negeri Terengganu berusaha mengurangkan jumlah sampah sisa pepejal ke tapak pelupusan di negeri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, rakyat Terengganu menghasilkan sekitar 800 tan sampah setiap hari.

“Daripada jumlah ini, Kuala Terengganu sebagai ibu negeri merupakan daerah tertinggi dengan penghasilan 240 tan sampah sehari.

“Setakat ini, kita cuma melaksanakan kaedah ‘landfill’ iaitu pengumpulan sampah di tapak pelupusan.

"Bagaimanapun cara ini dilihat menggunakan kapasiti tanah yang luas dan memakan masa lama untuk dilupuskan.
Dr. Alias dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Samiun Salleh (kiri) meneliti teknologi yang dihasilkan oleh Syngas bersama Pegawai Eksekutif Mensilin Green Energy, Mohamad Adan Yusof (kanan).
"Tambahan pula, air sisa pepejal itu turut mencemarkan alam sekitar," katanya ketika ditemui pemberita sewaktu mengadakan lawatan ke Kilang Syngas, anak syarikat Mensilin Green Energy Sdn. Bhd. di Gong Badak, hari ini.

Dalam lawatan tersebut, beliau didedahkan dengan teknologi penghasilan minyak diesel daripada plastik yang mampu mengurangkan sisa plastik ke tapak pelupusan sampah.

"Teknologi ini dilihat menggunakan sisa plastik dan selepas proses akhir, hanya 10 peratus sisa yang tinggal untuk dilupuskan melalui kaedah 'landfill'.

"Secara tidak langsung ia akan mengurangkan jumlah sisa pepejal ke tapak pelupusan di samping menghasilkan pendapatan buat negeri.

"Bagaimanapun, kita akan menilai kaedah ini di peringkat negeri sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya.

Setakat ini, Terengganu memiliki lima tapak pelupusan sampah iaitu di Tertak Batu, Marang; Bukit Ayat, Jertih; Sungai Ikan, Kuala Terengganu; Batu 111/2, Kuala Berang dan di Besut.

Pusat pelupusan Tertak Batu diuruskan secara teknologi tinggi. Manakala, pusat pelupusan Bukit Jemalang, Kemaman yang dengan teknologi sama telah siap 90 peratus dan dijangka beroperasi tidak lama lagi.




Tag: