• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Terengganu Manfaat Kepakaran Ulama Bangunkan Negeri

KUALA NERUS, 27 April - Kerajaan Terengganu terus komited untuk terus memanfaatkan ilmu dan kepakaran golongan ulama dalam membangunkan negeri mengikut landasan yang dihasratkan demi kepentingan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya sangat gembira apabila banyak pandangan dilontarkan mengenai pentadbiran islam semasa pertemuan secara bersemuka bersama para asatizah terbabit.

"Daripada awal lagi selaku pemimpin kerajaan kita mengambil prinsip sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah iaitu agama itu nasihat, jadi kita berlapang dada dalam setiap teguran demi penambahbaikan untuk masyarakat.

"Sebagaimana pertemuan bersama Syeikh Syed Suhaimi Syed Hassan Abdul Hadi, pada hari ini, ia memberi satu semangat kepada kami untuk berwaspada memikul amanah yang sangat berat ini, bukan sahaja mengingatkan tentang kerja dunia tetapi juga mengenai akhirat.

"Kesimpulan terbaik pada hari ini ialah kita bersedia untuk bersama-sama dengan tuan guru pondok dalam usaha membina negeri ini, agar mendapat berkat daripada Allah SWT," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas menziarahi Syeikh Syed Suhaimi di Madrasah Darul Muhajirin, Bukit Jong, di sini, pada hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Ridzuan Hasim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzzaman Abdullah, Pengarah Akademik Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood dan Timbalan Pengarah (Operasi) Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Sazali Mohd Noor.

Mohd Nor berkata pertemuan dengan guru pondok berkenaan sangat bermakna apabila diberi pandangan serta nasihat untuk dilaksanakan pihak kerajaan.

"Saya juga telah menceritakan beberapa perkara terakhir yang akan kita laksanakan dan beliau memberi respon yang sangat positif.

"Insya-Allah melalui DUAT dan i-MiTS juga Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) agar terjalin hubungan yang lebih baik agar mendapat kebaikan yang berterusan.

Mewakili kerajaan negeri, beliau mengajak seluruh rakyat mendoakan kesembuhan Tuan Guru Syeikh Suhami ketika ini sedang uzur agar berupaya untuk terus menyampaikan ilmu bagi melahirkan lebih ramai ulama di negeri ini.


Tag: