• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terengganu Hantar Pelajar ke Bumi Algeria

KUALA TERENGGANU, 25 Oktober – Seramai 10 pelajar berjaya dihantar ke Algeria untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi melalui tajaan oleh Yayasan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata Kerajaan negeri merakamkan tahniah kepada pihak pengurusan yang bertungkus lumus dalam usaha membawa pelajar ke Algeria.

Katanya, program itu dijayakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu, Yayasan Terengganu dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT).

“Pelajar tersebut juga akan diberikan wang saku oleh pihak Yayasan Terengganu sepanjang tempoh pengajian di sana.

“Di samping, penginapan tempat, makan minum serta yuran juga telah ditaja dan disediakan justeru pelajar hanya perlu belajar dan tidak perlu memikirkan masalah kewangan ketika berada di sana,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Pelepasan Pelajar Terengganu ke Algeria sesi 2022 bertempat di Ruang Pelepasan Aras Dua, Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Yayasan Terengganu, Mohd Azmi Mohamad Daham dan Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), Lothman Awang.

Tambah Satiful, pihaknya berharap agar para pelajar dapat menghabiskan pengajian penuh dan memanfaatkan setiap masa untuk menimba ilmu ketika berada di sana.

“Jadikan peluang belajar ini sebagai ‘Jihad Fi Sabilillah’ dengan membawa harapan ibu bapa dan juga amanah belajar yang telah diberikan,” katanya.

Sementara itu, ijazah yang akan diambil oleh para pelajar juga telah mendapat kelulusan serta Pengiktirafan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Menurutnya, pelajar-pelajar yang dipilih merupakan yang paling layak melalui syarat serta tapisan yang telah dibuat oleh pihak pengurusan sendiri.

 

 


Tag: