• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Hargai Usaha Pasukan Ragbi Tamatkan Penantian 37 Tahun

KUALA TERENGGANU, 20 Julai -  Kerajaan negeri menghargai usaha Pasukan Ragbi Negeri Terengganu  menamatkan penantian 37 tahun bagi menjulang kejuaraan dalam Kejohanan Ragbi Piala Agong dengan suntikan sebanyak RM150,000 sebagai penghargaan.

Pengerusi Jawarankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah mengulas bahawa beliau memahami betapa besarnya nilai kesabaran dan kerja keras untuk muncul juara dalam kejohanan tertinggi bagi sukan ragbi di negara kita.

Wan Sukairi menyampaikan replika cek kepada Yang Dipertua PRNT, Amir Amri Mohamad.

"Kesabaran dan kerja kuat dari setiap lapisan warga kerja tidak kira di peringkat Majlis Sukan Negeri mahupun persatuan dan juga atlit – atlit sendiri akhirnya membuahkan hasil. Lebih membanggakan Persatuan Raqgbi Negeri Terengganu (PRNT) turut menyumbang dalam kejayaan skuad 7 sebelah yang sekali lagi merangkul kejuaraan di peringkat kebangsaan tahun lalu setelah mengulangi kejayaan yang sama pada tahun 2017," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Meraikan Kemenangan Skuad Ragbi Piala Agong dan Skuad Ragbi 7 sebelah Sepasukan Kebangsaan Negeri Terengganu Tahun 2019 di Hotel Primula, Sabtu lalu.

Tambahnya, kejayaan itu turut menjadikan pasukan tersebut dilantik sebagai ikon Negeri Terengganu oleh Jabatan Pelancongan Terengganu (Tourism Terengganu) sebagai pemangkin kepada Tahun Melawat Terengganu 2020.

"Matlamat utama kita semua adalah bagi memartabatkan dan mengharumkan nama negeri kita iaitu Negeri Terengganu Darul Iman dalam bidang sukan secara amnya dan sukan ragbi tempatan secara khususnya sekali gus membawa motto Terengganu, Maju, Berkat, Sejahtera ke peringkat yang lebih dikenali," katanya.

 

 


Tag: