• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Hulur Bantuan Keperluan Asas Ke Johor

KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Kerajaan Terengganu menyalurkan bantuan barangan keperluan asas bernilai kira-kira RM200,000 kepada mangsa banjir di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, bantuan berupa kelengkapan diri, air mineral, tilam serta lain-lain akan dihantar ke negeri itu pada Khamis (esok).

Selain itu katanya, seramai 400 sukarelawan daripada pelbagai persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) Terengganu turut digerakkan dalam misi tersebut.

“Dalam misi membantu mangsa banjir di Johor ini, selain fokus kepada bantuan tenaga kerja untuk melakukan pembersihan oleh para sukarelawan, kita turut membawa sumbangan barangan untuk diedarkan kepada mereka yang terjejas.

“Pagi tadi, kita telah membuat pelepasan para sukarelawan ke kawasan Segamat, Simpang Renggam dan beberapa daerah lain yang boleh dimasuki dari Terengganu, manakala esok kita akan sambung lagi dengan misi menghantar barang-barang keperluan asas,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan insurans kematian kepada waris atlet lawan pedang Terengganu di Kampung Telaga Daing, disini, hari ini.

Katanya, diharapkan dengan bantuan barangan dan penghantaran sukarelawan oleh kerajaan negeri, sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban rakyat di negeri Johor yang berdepan bencana banjir.

“Beberapa hari lepas Menteri Besar Terengganu telah berhubung dengan Menteri Besar Johor, selain ucapan takziah, beliau juga berjanji untuk menghantar misi sukarelawan dan bantuan ke Johor,” ujarnya.