• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Impi Anak Tempatan Berlumba Dalam MotoGP

KUALA NERUS, 17 Oktober – Kerajaan negeri yakin akan kebolehan anak-anak muda tempatan dalam sukan permotoran dan menetapkan cita-cita untuk menyertai saingan motosikal antarabangsa seperti kejuaraan Grand Prix Motosikal (MotoGP).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, impian tersebut berpotensi untuk direalisasikan melihat kepada pencapaian bakat pelumba muda seawal umur lapan tahun seperti Pelumba cilik Terengganu, Qabil Irfan Azlan.

“Nama seperti Adam Danial Abdul Fattah dan juga Hakim Danish Ramli turut cemerlang dan sinonim dengan Kejohanan SIC MiniGP serta menyerlah bukan sahaja di peringkat nasional malah antarabangsa.

“Di peringkat kejohanan Cub Prix juga ada pelumba daripada negeri ini yang telah juara, Insya-Allah dengan pelapis sebegini tidak mustahil bakal melahirkan bakal pencabar di pentas MotoGP pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Karnival Permotoran Anak Muda Terengganu 2021 di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT), Mohd Izwandy Ismail dan Pengarah Urus setia Belia Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abd Razak.

Tambah Wan Sukairi, anjuran program permotoran tersebut telah lama dirancang namung kekangan pandemik menangguhkan usaha kerajaan dalam penganjuran tersebut.

“Namun begitu, sempena Sambutan Hari Sukan Negara, Terengganu berjaya menganjurkan acara ini sebagai tanda galakkan dan sokongan kepada warga muda.

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong segala aktiviti dijalankan orang muda terutamanya yang bertujuan baik. Dalam ucapan saya tadi, saya turut menasihati anak-anak muda yang hadir agar sentiasa mengutamakan syariat agama dalam bersukan disamping tidak meninggalkan solat,” katanya lagi.

Untuk pengetahuan Karnival Permotoran Anak Muda Terengganu 2021 mempertandingi empat kategori iaitu Sprint Test (Kereta) Sprint Test (Motorsikal), Time Attack Battle (Kereta) dan Time Attack Battle (Motorsikal).