• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Terengganu Inc Belanja RM11 Juta Bantu Masyarakat

KUALA TERENGGANU, 15 Jun - Sepanjang tahun lalu anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) telah membelanjakan lebih RM 11 juta untuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi manfaat pelbagai anggota masyarakat.

Selain memberikan peruntukan kebajikan dan pendidikan rakyat, Terengganu Inc turut aktif menaja Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan Terengganu Football Club (TFC), badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi lain.

Presiden dan pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, sebagai GLC, pihaknya peka terhadap pembangunan modal insan tempatan.

"Inisiatif bersepadu ini telah disertai oleh anak-anak syarikat kumpulan dengan melibatkan semua lapan daerah dalam negeri Terengganu yang telah membantu anak-anak pelajar serta badan pendidikan yang memerlukan dalam bentuk tajaan dan sumbangan pelbagai bentuk.

"Antara sumbangan berimpak tinggi dalam kemajuan pendidikan pada tahun 2022 antaranya 'YT-TI Young Talent Scholarship programme' bagi menaja 10 pelajar tempatan yang berkelayakan daripada keluarga B-40 untuk menyambung pelajaran ke peringkat tinggi dengan peruntukan sebanyak RM500,000.

" Terengganu Inc- UniSZA Islamic Investment Project iaitu pelaburan sebanyak RM300,000 bagi meneroka dan menyelidik panduan syariah dan ekonomi mampan serta memfokuskan penyelidikan, pelantikan profesor pelawat dan program tanggungjawab sosial dan penerbitan,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program 'Kick-Off BSAS Aeronautics UAV in School-Programme' kerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sawa, di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Tambah Burhanuddin lagi, antara sumbangan berimpak tinggi dalam membantu kemajuan pendidikan negeri ini diantaranya lagi ialah menyumbang dalam Yayasan Diraja Sultan Mizan untuk program akademik bagi meningkatkan kemahiran dan komuniti setempat melalui peruntukan sebanyak RM200,000 .

"Pihak kami turut menyumbang kepada 'National Stem Association Chapter' sebanyak RM110,000 bagi menganjurkan program peningkatan prestasi STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik)," ujarnya.