• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Inc Serah RM275,000 Zakat Perniagaan Buat Rakyat

KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Syarikat milik Kerajaan Negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) baru-baru ini menyalurkan sebahagian daripada zakat perniagaan dengan jumlah RM275,000 kepada golongan asnaf, fakir dan penerima layak lain.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, pengagihan zakat perniagaan bagi syarikat tersebut telah bermula sejak pertengahan tahun 2022.

"Penyerahan yang dilakukan kali ini adalah melibatkan penerima-penerima daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan juga dari beberapa DUN lain.

“Hasil kerjasama bersama Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu ini telah diadakan bagi meringankan beban kos harian dalam menghadapi kehidupan sebagai pemimpin keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Zakat Kepada Ibu Tunggal Desa Keluarga Kuala Terengganu di Kompleks Ibu Tunggal, Kuala Terengganu di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengarah YPKT, Zahanapi Sagaf.

Terengganu Inc menerusi inisiatif Jejak Ramadhan turut mengagihkan bakul makanan serta wang zakat kepada 50 buah keluarga asnaf di sekitar DUN Ajil serta penerima layak yang mempunyai anak ‘Cerebral Palsy’ (terlantar) di Kuala Terengganu.

Pada masa yang sama, pihaknya melakukan penyerahan zakat kepada 45 orang ibu tunggal di Perumahan Desa Keluarga Kuala Terengganu di DUN Batu Buruk.


Tag: