• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Inc Sumbang RM150,000 Keperluan Ramadan

KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Syarikat pelaburan induk strategik Kerajaan Negeri Terengganu, Terengganu Inc memperuntukan dana sehingga RM150,000 sempena bulan Ramadan ini.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata pihaknya meneruskan komitmen dengan menjalankan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui program lebih berimpak positif dan bermakna kepada golongan sasar.

Katanya, pelbagai pengisian kebajikan sepanjang bulan puasa ini termasuk agihan bubur lambuk, Jejak Ramadhan yang melibatkan program bakul makanan dan pelbagai lagi pengisian.

"Program tradisi syarikat sejak 2017 iaitu pengagihan bubur lambuk di Masjid Abidin (Masjid Negeri) yang berjumlah sebanyak 3,000 bekas untuk diberikan kepada komuniti setempat bermula dari 1 Ramadhan 1444H.

“Kakitangan Kumpulan Terengganu Inc akan terlibat sekali menyumbangkan bubur lambuk selama tiga (3) hari bermula pada 23, 26 dan 27 Mac 2023," katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Tambah Burhanuddin, program CSR di bawah nama Jejak Ramadan’ juga akan dilaksanakan bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

“Justeru, Terengganu Inc akan mencari dan membantu 30 buah keluarga kurang berkemampuan yang memerlukan perhatian dan bantuan, dengan kerjasama pemimpin setempat.

"Program bakul makanan, sedekah wang tunai serta program gotong-royong iftar tidak hanya memberikan bantuan fizikal kepada warga asnaf tetapi juga memberi semangat kebersamaan dan rasa kasih sayang di antara masyarakat setempat.

“Inisiatif ‘Jejak Ramadhan’ menggalakkan kami untuk mengambil peluang di bulan yang penuh berkat ini untuk melakukan amal jariah sebanyak yang mungkin, termasuk meningkatkan usaha amal," katanya.

Di samping, Tabung Jejak Ramadan juga akan dibuka bagi mengumpulkan sumbangan daripada kakitangan Terengganu Inc bermula dari awal Ramadhan hingga akhir bulan.

“Dalam menyokong agenda negeri, Terengganu Inc juga akan berkolaborasi bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah untuk Pembangunan Surau Sementara Al-Hidayah di Muara Utara Kuala Terengganu City Centre (KTCC),” jelasnya.

Sementara itu, kewujudan prasarana di kawasan tumpuan operasi ‘foodtruck’ ini dapat menyediakan kemudahan dan keselesaan yang diperlukan untuk memudahkan akses kepada umat Islam, terutamanya di kawasan tumpuan seperti berdekatan dengan jambatan angkat ikonik tersebut.

“Terengganu Inc amat mementingkan usaha kebajikan dengan tujuan untuk membantu masyarakat tempatan dan golongan kurang bernasib baik, sekaligus menjalin hubungan baik dengan pihak-pihak berkepentingan,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 


Tag: