• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Inc Taja Terengganu FC RM1.6 Juta

KUALA NERUS, 15 November - Kumpulan Terengganu Incorporation (Terengganu Inc) meneruskan komitmen mereka dalam menyokong pembangunan sukan di negeri Terengganu apabila menandatangani penajaan bernilai RM1.6 juta bersama Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB), hari ini. 

Tajaan bagi musim 2023 tersebut melibatkan tiga anak syarikat Kumpulan Terengganu Inc iaitu Eastern Pasific Industrial Corporation Berhad (EPIC), Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) dan Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (LRTSB).

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun memaklumkan, tajaan berkenaan menjadi suntikan semangat kepada gergasi pantai timur itu yang bakal bersaing dalam Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada musim depan.

"Bola sepak merupakan salah satu sukan utama di Terengganu yang mempunyai ramai peminat tempatan yang setia. Penajaan Kumpulan Terengganu Inc ini juga selari dengan momentum positif pasukan itu yang telah meraih tempat kedua Liga Super, naib juara Piala FA 2022, serta dalam usaha menempah tempat ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini.

"Sejak tahun 2017 sehingga kini, Terengganu Inc serta anak-anak syarikatnya sudah tidak asing lagi dalam mengadakan kolaborasi menang-menang bersama Terengganu FC," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Majlis menandatangani penajaan yang berlangsung di Pejabat Pengurusan TFCSB, disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC; Ridzuan Ali, Ketua Pegawai Eksekutif SATU; Ts. Abdul Karim Endut, Ketua Eksekutif LRTSB, Che Ku Hafiz Che Ku Denang serta disaksikan oleh Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanudin Hilmi Mohamed @ Harun.

Manakala itu, TFCSB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn. Bhd, Ab Rasid Jusoh.

Sebagai penaja, Terengganu Inc serta tiga anak syarikatnya mendapat pelbagai peluang pemasaran strategik seperti promosi logo penaja pada jersi, tapak pemasaran sempena hari perlawanan, penjenamaan pada kit latihan rasmi pusat latihan, logo, iklan penaja di media sosial dan lain-lain lagi.

Selain itu, penajaan kepada pasukan Terengganu FC telah berlangsung selama enam tahun dengan tajaan keseluruhan sebanyak RM22.6 juta.

Burhanuddin turut berharap, kesinambungan penajaan berkenaan bakal mencetuskan peningkatan prestasi pasukan pada saingan Piala AFC 2023 nanti.

"Pihak kami juga yakin TFC bakal mengharumkan nama Terengganu dan Malaysia disamping menaikkan nama Kumpulan Terengganu Inc di mata negara dan rantau Asia,” katanya.

Sebelum ini, Kumpulan Terengganu Inc. turut menaikkan tajaan kepada pasukan berbasikal ternama, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) sebanyak RM2 juta pada tahun 2023, berbanding RM1.5 juta pada tahun ini berikutan kecemerlangan pasukan tersebut di peringkat benua.

 

 

 

 


Tag: