• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Inc Teruskan Tradisi Agih 3,000 Bekas Bubur Lambuk

KUALA TERENGGANU, 4 April  – Terengganu Inc, syarikat induk pelaburan negeri meneruskan acara tradisi mengagihkan 3,000 bubur lambuk  sebagai juadah berbuka puasa secara percuma selama tiga hari bermula awal Ramadan ini.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, program  itu merupakan aktiviti tahunan Terengganu Inc serta 15 anak-anak syarikat kumpulan yang diadakan sejak 2017 bersama warga masjid dan sekitarnya.

"Kami harap, acara tahunan ini dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan membeli juadah atau tidak berkesempatan menyediakan makanan berbuka puasa menikmati makanan sinonim dengan bulan puasa itu.

"Semoga langkah tepat ini mengekalkan amalan pengagihan bubur lambuk di sekitar kawasan masjid, sekaligus dapat menyuburkan jalinan kerjasama dan ikatan silaturahim antara kumpulan Terengganu Inc sendiri dan masyarakat sekeliling,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengagihan bubur lambuk dihadapan Masjid Abidin di sini semalam.

Hadir sama, Datuk Dr Syed Mohammad Salleh Syed Yusof Al Zawawi serta ketua-ketua syarikat anak-anak syarikat kumpulan yang terdiri daripada TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP), Syarikat Percetakan Yayasan Islam Terengganu, Ladang Rakyat Trengganu Sdn Bhd, Hartanah Terengganu Sdn Bhd, Primula Beach Hotel, PTB Unit Trust Berhad (ASDI) dan Terengganu Safety Training Centre Sdn Bhd.

Tambahnya, sambutan orang ramai terhadap bubur lambuk yang dihasilkan  sangat luar biasa kerana ada yang sanggup beratur sejak  3 petang.

"Bubur lambuk itu akan habis diagihkan dalam tempoh 15 hingga 20 minit sahaja," katanya.