• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Inc, UiTM Jalin Kerjasama Strategik

KUALA TERENGGANU, 11 Januari- Syarikat pegangan pelaburan kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc.) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meningkatkan lagi pembangunan industri pelancongan di negeri ini.

MoU selama dua tahun itu merangkumi pemindahan kepakaran industri, penyediaan tempat latihan industri, penyelidikan dan juga pertukaran ilmu.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc., Burhanudin Hilmi Mohamed berkata, kerjasama strategik itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dimana membolehkan talent-transfer daripada universiti kepada pihak hotel dan juga, knowledge-transfer daripada pihak pengendali hotel kepada pelajar.

“Malah pihak hotel juga berpeluang untuk menghantar pekerja sedia ada untuk menyambung pelajaran atau menambah baik kemahiran melalui kursus yang dirancang bagi tujuan kerjasama di peringkat seterusnya.

“Kami mengalu-alukan UiTM untuk merangka pelan strategik bagi penggalakkan latihan dan skill enhancement trainning, juga ‘profesional diploma’ bagi tujuan menambah baik mutu perkhidmatan dan latihan, meningkatkan kemahiran sedia ada dan juga mendokumenkan kemahiran dan pengalaman mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Terengganu Inc. dan UiTM di Hotel Permai, hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Burhanudin dan Rektor UiTM cawangan Terengganu, Prof Ts Dr Mazidah Puteh sambil disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman.

Menurut Burhanudin, Terengganu Inc. mewakili keempat-empat hotel kerajaan negeri iaitu Primula Beach Hotel, Permai Hotel, Duyong Marina & Resort dan Paya Bunga Hotel.

“Hotel-hotel kami telah memberikan penempatan kepada 78 pelajar UiTM mulai tahun 2019 hingga 2021 yang mana secara puratanya adalah seramai 20 orang setiap hotel pada setiap tahun,”jelasnya.

Sementara itu, Mazidah berkata UiTM sentiasa bersedia untuk menghantar seberapa ramai pelajar untuk menjalani latihan industri berdasarkan permintaan pihak hotel termasuk di dalam dan luar negara.