• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Jadi Negeri Pertama Selesai Pelantikan MPKK

Dr. Azman bersama  Pengerusi i-MITS, Ustaz Kamaruzaman Abdullah di Majlis Perasmian Penutup Kem Jati Diri J3K Daerah Dungun di Akademi Bomba Wakaf Tapai, Marang, hari ini


Terengganu menjadi negeri pertama yang mengalami peralihan pimpinan kerajaan yang menyelesaikan pelantikan Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berbanding negeri lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, Terengganu menyelesaikan lebih awal dari yang dijangkakan dan secara rasmi menggunakan nama MPKK sebagai nama baharu seperti yang diumumkan dalam Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri pada 1 Ogos lalu.

"Seperti yang disyorkan oleh jemaah menteri untuk kita guna pakai nama MPKK menggantikan nama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung  (J3K) dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) telah pun keluarkan surat arahan ini kepada semua Pegawai Daerah pada 2 Ogos.

"Maka secara rasmi kita gunakan nama baharu ini kerana pihak kita telah selesai awal bahagian penyusunan jawatankuasa ini.Namun sebaliknya bagi negeri-negeri lain yang turut berlaku peralihan pimpinan kerajaan, mereka belum menubuhkan lagi MPKK ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Kem Jati Diri J3K Daerah Dungun di Akademi Bomba, Wakad Tapai, Marang, hari ini.

Dr Azman berkata, kerajaan negeri turut membuat penambahbaikan dari segi memberi peluang kepada pengerusi yang melebihi had umur yang ditetapkan oleh Kerajaan Pusat untuk terus kekal sebagai Pengerusi MPKK.

"Kerajaan Pusat telah mengariskan had umur tertentu bagi jawatan pengerusi iaitu tidak lebih dari 69 tahun dan bagi ahli jawatankuasa pula 65 tahun ke bawah.

"Tetapi sekiranya di kampung-kampung yang memerlukan individu tertentu untuk memimpin walaupun umur melebihi 69 tahun, maka YAB Menteri Besar memberi kebenaran khas untuk kekal sebagai Pengerusi MPKK tanpa campur tangan Kerajaan pusat.

"Terdapat beberapa kes yang melibatkan Pengerusi MPKK yang melebihi had umur tetapi dikira masih terbaik untuk memimpin diberikan kebenaran khas ini bagi penggal ini untuk meneruskan perkhidmatannya,"ujarnya.





Tag: