• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Terengganu Jana Sampah Sarap Hasil Tenaga Elektrik Pertama Di Asia Tenggara


Ahmad Razif menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Pelaksanaan Projek 'Waste To Wealth' di antara Mercu RE Solution Sdn Bhd dengan Kerajaan Terengganu di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh Harish Fadzillah Kasim
 Terengganu bakal mengaplikasikan teknologi hijau mesra alam dari Denmark dikenali REnescience, di tapak pelupusan sampah Sungai Ikan, Tepoh, yang pertama di rantau Asia Tenggara, bermula tahun depan .

Projek bernilai RM240 juta mampu memproses sekurang-kurangnya 400 hingga 450 tan metrik sampah sehari bagi mengeluarkan gas metana yang boleh menjana tenaga elektrik.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pelabur telah membuat kajian secara terperinci dan mendapati sisa perbandaran di Kuala Terengganu mampu menghasilkan lima megawatt tenaga elektrik.


Katanya, buat permulaan, teknologi itu akan digunapakai Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dengan kerjasama pihak swasta untuk memproses sisa sampah bagi menghasilkan  lima megawatt tenaga elektrik yang akan dijual kepada Tenaga Nasional Berhad.

“Manakala bahan bukan organik seperti plastik termasuk bekas makanan dan minuman pula akan diproses untuk menghasilkan kira-kira  40,000 liter diesel sehari dan resin yang akan menjadi bahan mentah bagi menghasilkan produk plastik.

“Melalui teknologi sama yang mampu memproseskan hampir 90 peratus bahan buangan di tapak pelupusan sampah itu akan diperluaskan ke daerah lain kerana menyedari mampu menjaga persekitaran alam berbanding kaedah konvensional,”katanya.


Beliau berkata demikian  pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Pelaksanaan Projek 'Waste To Wealth' di antara Mercu RE Solution Sdn Bhd dengan Kerajaan Terengganu di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Ahmad Razif berkata, pelaksanaan projek yang akan dikelola MBKT bersama Mercu RE Solution itu dijangka mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM236 juta pada 2020.


“Projek seumpama ini berjaya dilaksanakan di Eropah termasuk di Denmark dan sebuah loji yang sama sedang dibina di Manchester, United Kingdom yang akan beroperasi pada awal 2017.

“Pelaksanaan projek itu kelak mampu menawarkan sekurang-kurangnya 100 peluang pekerjaan, selain berupaya memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan,”katanya.



Tag: