• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Jangka Capai Fasa 3 Hujung Bulan ini

KUALA NERUS, 4 September - Terengganu dijangka akan dapat beralih ke fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada hujung September ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jangkaan tersebut dilihat usaha kerajaan negeri memenuhi kriteria-kriteria ditetapkan Majlils Keselamatan Negara (MKN) untuk membolehkan negeri tersebut beralih ke fasa berikutnya.

"Ada beberapa indikator yang ditetapkan dan dari segi vaksin kita sudah mencapai peratus yang mencukupi iaitu 50.8 peratus.

"Cuma ada kekurangan dari segi peratusan kesediaan unit rawatan rapi (ICU) untuk menampung bilangan penggunaan katil iaitu sebanyak 60 peratus berbanding 50 peratus yang ditetapkan MKN, menyebabkan kita belum dapat beralih ke fasa 3.

"Bagaimanapun, kita menjangkakan sebelum akhir bulan ini kita akan mencapainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan ke Dewan Sivik Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading dalam Misi Kebajikan Kami Bersamamu anjuran Khidmat Malaysia Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat yang juga merupakan pengerusi Khidmat Malaysia Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said serta Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat.

Dr. Samsuri turut berpesan kepada masyarakat supaya memainkan masing-masing dalam memastikan penularan pandemik Covid-19 dapat dikawal.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan tugas yang terbaik untuk mengawal penularan menjadi semakin kronik, saya rasa semua itu terkawal kini kerana walaupun jangkitan agak banyak, tetapi lebih 98 peratus pesakit berada di bawah kategori 1 dan 2. 

"Apa yang penting prosedur operasi standard (SOP) perlu diamalkan dan seluruh anggota masyarakat perlu berperanan.

"Kalau ada ahli keluarga nak buat majlis, tolong pesan supaya jangan buat dahulu dan tunggu sehingga pulih dahulu," katanya.

 


Tag: