• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Terengganu Ke Perlawanan Akhir Kejohanan Ragbi MSSM

Antara aksi perlawanan U-12 tadi.
KUALA NERUS, 7 Ogos - Pasukan ragbi Terengganu bawah 12 tahun (U-12), berjaya melangkah ke perlawanan akhir (Cup) Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) setelah menewaskan Sabah di peringkat separuh akhir, hari ini.

Dalam perlawanan yang berlangsung di padang Sekolah Menengah Teknik Terengganu, Gong Badak itu, Terengganu menang dengan mata 41-34.

Jurulatih pasukan, Mohd Hilmi Mohd Yusoff melahirkan kegembiraan atas pencapaian tersebut.

Mohd Hilmi.
"Alhamdulillah, kita berjaya ke perlawanan akhir setelah sekian lama tidak berada pada tahap ini.

"Kita akan mencuba sebaik mungkin dalam perlawanan esok untuk menjadi juara di bumi Terengganu ini," katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Terengganu akan menentang pasukan Perak yang menang ke atas Selangor melalui lambungan syiling setelah terikat 20-20 sehingga tamat masa tambahan.
Pemain dan penyokong merakamkan kenangan selepas perlawanan.

Sementara itu, pasukan Terengganu bawah 18 tahun (U-18) berjaya menebus kekalahan semalam apabila turut mara ke perlawanan akhir kategori Plate setelah menewaskan Kuala Lumpur 10-3, dalam separuh akhir yang berlangsung petang tadi.

Perlawanan akhir U-12 akan berlangsung di padang SM Teknik Terengganu pada jam 9.30 pagi esok.

Manakala, perlawanan akhir kategori Plate pula akan berlangsung pada jam 9.45 pagi esok di Padang B, Mini Stadium, Kompleks Sukan Gong Badak.
Aksi Terengganu U-18 semalam.



Tag: