• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

50 Peratus Kawasan Hutan Kekal

KUALA NERUS, 30 Oktober – Terengganu komited mengekalkan lebih 50 peratus kawasan hutan di negeri ini untuk kepentingan hidupan liar dan alam sekitar.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dato’ Dr Alias Razak berkata pelbagai usaha sedang dan akan dilakukan bagi menjayakan misi tersebut.

Katanya, sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) peringkat Negeri Terengganu merupakan salah satu langkah ke arah itu selain dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.

"Program ini membawa tema ‘Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama’ diserikan lagi dengan slogan ‘Menyantuni Alam Sekitar Keluarga Malaysia.

“Terengganu merupakan negeri yang mementingkan keseimbangan oksigen dalam memastikan kawasan hutan di negeri ini terjaga daripada aktiviti pembalakan haram dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) peringkat Negeri Terengganu 2022 bertempat di Dewan Auditorium Mahyudin, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu, Ramli Abd Rahman.

Tambah Dr Alias, program itu dijayakan bersama dengan Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu, Jabatan Penghutanan Negeri Terengganu dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

"Lokasi penganjuran di UMT ini amat tepat memandangkan banyak kemudahan serta tempat untuk diadakan pelbagai aktiviti.

"Di samping, kedudukan yang strategik memudahkan kehadiran pengunjung untuk datang ke program ini," katanya.

Bersempena majlis ini juga, penyerahan anak pokok kepada tujuh daerah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut berlangsung dalam melestarikan kesedaran alam sekitar.

Beliau berkata, semua pihak diseru untuk sama-sama bertanggungjawab dalam menjaga serta mencegah jenayah alam sekitar seperti pembakaran terbuka dan pembalakan haram.

Sementara itu, pelbagai aktiviti disediakan kepada pengunjung yang hadir seperti kayuhan hijau dan kutip sampah sambil beriadah.

 


Tag: