• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Terengganu Kembali Banjir

KEMAMAN, 7 Februari - Beberapa kawasan di daerah ini kembali dilanda banjir ekoran hujan lebat berterusan sejak awal pagi pada Isnin.

Menurut  laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, , seramai 28 mangsa daripada sembilan keluarga telah dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di SK Lembah Jabor dan Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih di sini sehingga jam 8 pagi.

"PPS SK Lembah Jabor yang dibuka jam 12 malam tadi menempatkan 25 mangsa daripada lapan keluarga.

"Manakala PPS Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih turut diaktifkan bagi menempatkan tiga mangsa daripada satu keluarga," menurut kenyataan tersebut.

Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, sebatang sungai masing-masing direkodkan melepasi paras bahaya dan amaran manakala dua lagi direkodkan melepasi paras waspada.

Setakat jam 8 pagi, Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman melepasi paras bahaya dengan bacaan 18.80 meter (m) berbanding paras normal 15 m.

Sementara itu, di Hulu Terengganu, Sungai Telemong di Kuala Ping  melepasi paras amaran dengan bacaan 19.21 m.

Dua lagi sungai yang mencatatkan bacaan melepasi paras waspada adalah Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun dan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih, Kemaman masing-masing dengan bacaan 11.35 m dan 12.92 m.