• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terengganu Kembali Dilanda Banjir, Dua PPS Dibuka

KUALA TERENGGANU, 17 Disember - Seramai 21 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila dua daerah di Terengganu dilanda banjir dalam gelombang kedua.

Sehingga jam 8 pagi ini, dua PPS telah diaktifkan bagi menempatkan lima keluarga dari daerah Setiu dan Dungun.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Kasar Hulu Nerus, Setiu dibuka pada 1.30 pagi hari ini bagi menempatkan empat mangsa daripada satu keluarga.

Sementara itu, seramai 17 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja yang dibuka bermula 6.30 pagi tadi.

Dalam masa yang sama, dua laluan di Chukai iaitu Jalan Pelatoh-Lubuk Lesong di Kampung Pelantoh  ditutup untuk semua kenderaan ringan selepas dinaiki air sehingga 0.4 meter dan Jalan Teladas Air Putih di jambatan lama Teladas yang dinaiki air sehingga 0.76 meter.

Orang ramai boleh menggunakan jambatan baru Teladas sebagai jalan alternatif.