• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Terengganu Ketatkan Kelulusan Lesen Korek Pasir

KUALA TERENGGANU, 26 Oktober - Syarat kelulusan pemberian lesen kepada aktiviti mengorek pasir di Sungai Terengganu akan diperketatkan bermula tahun depan bagi mengelak masalah paip bocor dan patah hingga menjejaskan pengguna berulang.

Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN), Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, prosedur operasi standard (SOP) baharu kelulusan lesen korek pasir itu kini sedang dirancang dan diperhalusi oleh semua jabatan terlibat.

Menurut beliau yang mempengerusikan jawatankuasa khas siasatan paip bocor, SOP baharu lebih teliti dan ketat merupakan antara yang disyorkan oleh jawatankuasa itu kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN) selepas siasatan selesai.

“Laporan siasatan sudah dikemukakan kepada MKKN pada bulan lepas dan kita membuat beberapa pengesyoran jangka masa pendek serta panjang dan MKKN telah bersetuju dengan pengesyoran kita.

“Antaranya pemetaan struktur bawah air sebagaimana disebut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, garis panduan baharu mengorek pasir dan kajian tahap kesihatan lembangan sungai Terengganu,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Tun Ahmad Faisal berkata, SOP baharu itu sebagai penambahbaik kepada garis panduan sedia ada dan ia tidak hanya terhad kepada kerja mengorek pasir sahaja, tetapi termasuk juga projek pembinaan serta aktiviti lain di dalam sungai.

“Contohnya, kita mungkin kena kurangkan bilangan pengusaha pasir dalam satu-satu kawasan dan jarak lokasi memproses pasir perlu mengambil kira sensitiviti kawasan itu kerana keadaan sungai berbeza, kuala sungai lain, hulu sungai lain,” katanya.

Ditanya punca sebenar kerosakan paip dasar Sungai Terengganu hingga menjejaskan ribuan pengguna di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus pada Ogos lalu, beliau berkata, tiada keputusan yang konkrit boleh dinyatakan sehingga kajian lebih teliti dibuat.