• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Kini Benarkan Berbuka Puasa Di Tempat Awam

KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Umat Islam di Terengganu kini dibenarkan berbuka puasa di kawasan lapang termasuk di padang sekitar jambatan angkat atau drawbridge pada Ramadan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak bagaimanapun berkata, mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Pihak kerajaan negeri telah berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM), semalam.dan kelulusan diberikan bagi rakyat negeri ini untuk menjalankan aktiviti berbuka puasa secara terbuka di kawasan lapang, taman awam dan kawasan tepi pantai.

“Dalam masa yang sama, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan KKM  juga akan buat pemantauan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP dan orang ramai diminta melakukan penjarakan fizikal untuk mengelakkan berlakunya penyebaran virus Covid-19,” ujarnya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini. 

Sementara itu, Dr Alias mengingatkan kepada orang ramai yang teruja untuk berbuka puasa berlatar belakangkan pemandangan indah pantai atau jambatan angkat atau ‘drawbridge’,  supaya tidak mencemarkan keindahan kawasan itu apabila segelintir daripada mereka membiarkan sampah berlonggokan.

“Tolong buang sampah dan sisa makanan selepas berbuka puasa dan jaga kebersihan kawasan tersebut.

“Kerjasama orang ramai diperlukan bagi mengelakkan berlakunya lambakan sampah dan pada masa yang sama petugas penguatkuasa akan terus memantau dan mengenakan kompoun bagi mereka yang membuang sampah merata-rata seperti biasa,” katanya. 

Mengenai isu Kanak-kanak berusia bawah 12 tahun ke bawah disaran tidak ke bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri, Dr Alias berkata ia susulan peningkatan kes Covid-19 di kalangan golongan kanak-kanak.

“Kita tidak galakkan kanak-kanak masuk ke bazar kerana vaksinasi mereka masih belum lengkap dan ini demi kebaikan bersama namun terpulang kepada ibu bapa untuk menentukannya,” katanya.