• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Kutip RM4.7 Juta Untuk Rakyat Palestin

KUALA TERENGGANU, 22 Mei - Tabung Kemanusiaan Palestin yang digerakkan kerajaan negeri serta badan bukan kerajaan dan parti politik di Terengganu berjaya mengumpulkan RM4.7 juta dalam tempoh satu minggu.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah kutipan untuk #Aids4Palestine itu termasuk pemotongan sebulan gaji beliau dan barisan Exco.

“Selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS menyumbang RM3,000 seorang, selebihnya syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) serta pertubuhan bukan kerajaan yang diuruskan sekretariat Majlis Muafakat NGO Terengganu, menjadikan jumlah sebanyak RM1 juta dikumpulkan.

“Manakala saluran kedua melibatkan Urus setia PAS Relief Terengganu dan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu yang berjumlah RM3.7 juta.

“Semoga Allah SWT menerima sumbangan ini sebagai amal soleh yang menjadi jariah berpanjangan," ucapnya ketika Majlis Penyerahan Sumbangan Aid4Palestine peringkat tiga negeri, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kutipan diraih PAS Terengganu adalah melalui Kawasan, Pemuda, Muslimat dan Ameerah.

“Daripada jumlah keseluruhan, PAS kawasan Marang memberi sumbangan paling banyak iaitu RM671,055 diikuti kawasan Kemaman (RM600,037) dan Kuala Terengganu (RM535,555).

“Saya berterima kasih kepada semua yang menyumbang ke dalam Tabung #Aid4Palestine, ia jelas menunjukkan keprihatinan rakyat Terengganu dengan penderitaan saudara kita di Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, hasil derma bermula 15 Mei lalu telah diserahkan kepada Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Datuk Husain Awang secara atas talian dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Aid4Palestine peringkat negeri Terengganu, semalam.