• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Terengganu Laksana Pelan Jangka Pendek Mendalam Muara

Dr. Azman, Sulaiman bersama para nelayan mukim Merchang.


MARANG, 21 Februari - Kerajaan Terengganu merancang untuk melaksanakan penyelesaian jangka pendek bagi mendalamkan muara cetek yang menjadi antara isu utama nelayan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim memberitahu, kerajaan negeri tidak akan membiarkan isu berkenaan terus berlarutan tanpa ada langkah penyelesaian walaupun pelaksanaannya terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan.

Katanya, projek mendalamkan muara cetek dan benteng pemecah ombak menerusi seliaan dan pelaksanaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Kita telah berbincang untuk mencari penyelesaian jangka masa pendek yang tidak melibatkan kos yang tinggi.Kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberi kebenaran kepada syarikat menggali muara dan memberikan pasir kepada mereka untuk dijual sebagai hasil mereka. Tetapi pada masa yang sama,  kerajaan tidak perlu membayar apa-apa kos.

Sesi dialog membantu mengenal pasti punca masalah dan memudahkan penyelesaian.

“Ini disebabkan, kos mendalamkan muara termasuk membina benteng pemecah ombak melibatkan kos ratusan juta,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis YB Cakna Komuniti Nelayan di Dewan Sivik Merchang, semalam.

Majlis tersebut dihadiri sekitar 200 nelayan dalam mukim Merchang. Turut hadir,Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali dan wakil Pengarah Lembaga  Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Dr. Azman memaklumkan, terdapat beberapa isu yang menjadi kebimbangan nelayan pada masa kini.

Katanya, isu utama adalah untuk meningkatkan hasil tangkapan nelayan dan bagi mengatasi masalah itu,  kerajaan negeri dengan kerjasama jabatan perikanan banyak melabuhkan tukun dan unjam bagi menarik serta membiak ikan di kawasan zon nelayan pantai.

Menurut beliau, isu lainnya melibatkan pencerobohan nelayan pukat tunda di kawasan zon pantai di bawah daripada lima batu nautika.

Peserta beri reaksi balas yang baik dengan mengutarakan isu yang membelengu mereka.

“Untuk perkara ini, kita ada agensi penguatkuasa iaitu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Perikanan yang aktif dan dapat mengambil langkah yang perlu bagi memelihara sumber kita.

“Cuma, para nelayan perlu meletakkan peranan menjaga laut ini sebagai tanggungjawab kita bersama. Ini kerana, perairan kita adalah yang terpanjang di semenanjung Malaysia iaitu sejauh 244KM dengan keluasan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) mencecah 87 ribu km persegi,” katanya.

Beliau  memberitahu, semua isu berkenaan sukar untuk diatasi tanpa kerjasama semua dan berharap  nelayan sama-sama peka dan melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai sebarang kegiatan yang mencurigakan supaya boleh diambil tindakan segera.


Sementara itu, Sulaiman turut menyambut baik penganjuran majlis berkenaan.

“Asas penganjuran oleh Pusat Khidmat DUN ini ialah untuk membina kerjasama antara negeri dan nelayan bagi mencari punca dan menyelesaikan masalah nelayan.

“Ini merupakan permulaan yang baik.  Kita harap selepas ini pihak yang terlibat boleh membantu nelayan daripada segi teknikal dan keperluan lain dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam program berkenaan, nelayan turut menerima bantuan keperluan dapur dan jaket keselamatan yang disampaikan oleh Dr. Azman.

Majlis tersebut merupakan pertemuan beliau bersama komuniti nelayan pantai sebagai usaha membina hubungan antara kerajaan dan komuniti nelayan.

Program dialog tersebut mendapat reaksi positif daripada peserta yang hadir dengan pelbagai isu dan masalah berkaitan nelayan diutarakan untuk mendapatkan penjelasan dan penyelesaian segera pihak berkuasa.


Tag: