• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Laksana Solat Hajat Sempena Hari Kemerdekaan

KUALA NERUS, 25 Ogos – Kerajaan Terengganu mengadakan solat hajat dan doa selamat di Masjid Seberang Takir, Kuala Nerus sempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Yahaya Ali berkata program tersebut dirancang bagi memeriahkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan dengan penuh keberkatan.

Katanya, Malaysia telah melalui zaman keemasan serta dicalit dengan pelbagai cabaran dari corong politik, ekonomi dan sosial.

“Malaysia hingga kini mampu berdiri teguh sebagai negara merdeka, berdaulat dan negara majmuk yang merangkumi pelbagai kaum.

“Sebagai rakyat Malaysia, perlunya kita bersatu padu dalam mengekalkan kemerdekaan dan keamanan selama 66 tahun ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Solat Hajat, Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Kebangsaaan Tahun 2023 di Masjid Seberang Takir, Kuala Nerus di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Tambah Yahaya Ali, generasi kini telah menikmati kurniaan kemerdekaan yang melimpah ruah daripada Allah swt. 

“Pengorbanan dan perjuangan generasi terdahulu bagi mendapatkan kemerdekaan perlulah kita hargai.

“Seluruh jerih perih mereka menunjukkan betapa mereka cintakan negara ini,” katanya.

Jelas beliau lagi, hari kebangsaan perlulah disambut dengan penuh penghayatan dan bukanlah semata-mata dipenuhi hari itu dengan laungan kosong ketika menyambutnya.

“Marilah seluruh rakyat Malaysia bersama-sama kita berganding bahu mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan tanah air yang tercinta ini,” ujarnya.

 

 

 


Tag: