• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Terengganu Laksana TPR Bantu Anak Muda Miliki Rumah

MPKK perlu salur maklumat tepat kepada masyarakat.
KUALA TERENGGANU, 22 Januari - Kerajaan Terengganu merancang melaksanakan Tabung Perumahan Rakyat (TPR) bagi membantu rakyat negeri itu memiliki kediaman berikutan lonjakan harga rumah di luar kemampuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, seramai 36,000 penduduk Terengganu didapati benar-benar memerlukan rumah kediaman dan kebanyakannya terdiri daripada anak muda merujuk laporan penilaian yang telah dilakukan.

“Ramai yang mahu membeli rumah terutama anak-anak muda tetapi tidak melepasi tahap kelayakan untuk pinjaman bank. Ini menyebabkan rumah-rumah yang sedia ada memerlukan masa yang lama untuk dijual.

“Disebabkan itu, kerajaan berusaha membantu kumpulan sasar untuk mendapatkan paling minimum, sebuah rumah dengan tiga bilik,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Bantuan Perumahan di Dewan Sivik Pasir Panjang, semalam.

Taklimat tersebut diadakan bagi mempergiatkan usaha menyampaikan maklumat berkenaan bantuan perumahan rakyat melalui pemimpin masyarakat.


Dr. Alias menyifatkan TPR mampu menjadi medium yang baik untuk membantu rakyat Terengganu di luar kumpulan sasar dengan penawaran pembiayaan perumahan tanpa riba.

“Tabung ini masih belum dibuka tahun ini kerana kita kekurangan dana dan bakal dilaksanakan pada tahun hadapan sekiranya keadaan mengizinkan.

“Bagaimanapun, pelaksanaan bantuan perumahan untuk golongan sasar tetap diteruskan dengan peruntukan yang telah disediakan kerajaan,” katanya.

Kerajaan negeri dalam Bajet 2019 memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk membina rumah-rumah rakyat di bawah Skim Projek Perumahan Terengganu-ku Sejahtera (PPTS) dan Rumah Mampu Milik (RMM).

Sebanyak 20,000 unit rumah akan dibina secara berperingkat dan sebanyak 1,074 unit rumah terbengkalai akan dibaiki bagi tahun 2019.

“Kita sasarkan pembinaan 5,000 unit rumah setiap tahun dan permohonan boleh dilakukan secara dalam talian di laman sesawang e-perumahan.terengganu.gov.my.

“Jika ada yang kurang mahir untuk membuat permohonan, rakyat boleh merujuk dan memohon bantuan MPKK dan pusat khidmat DUN (Dewan Undangan Negeri) dalam kawasan mereka,” kata Dr. Alias.

Taklimat tersebut melibatkan kira-kira 100 orang ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di DUN Ladang.





Tag: