• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Terengganu Lancar 32 Bas My Bus Bermula Tahun Depan


Terengganu bakal melancarkan 32 buah bas menerusi perkhidmatan My Bus 'Stage Bus System Transformation' (SBST) yang dikendalikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD).

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, perkhidmatan yang akan berpusat di Kuala Terengganu akan dilaksanakan bermula awal tahun hadapan.

Katanya, daripada keseluruhan bas tersebut, SPAD turut menawarkan lapan buah bas elektrik yang  melibatkan lapan laluan berbeza sebagai projek perintis itu.

"Jadi laluan-laluan nanti akan kita umumkan. Bas ini akan sampai ke Marang, Hulu Terengganu, Merang (Setiu) dan sekitar Kuala Terengganu.

"Apa yang amat menggembirakan adalah bas ini juga akan masuk melalui hospital. Jadi ianya memberi kemudahan kepada mana-mana pihak yang ingin melawat hospital," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusi Mesyuarat Mingguan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Putrajaya, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Dato' Rozi Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang.

Ahmad Razif berkata, Mara Liner akan menjadi operator perkhidmatan My Bus berkenaan.

Katanya, tumpuan akan diberikan ke kawasan-kawasan tumpuan pelancongan bagi memudahkan pergerakan dari satu tempat ke satu tempat samada kepada pelancong mahupun masyarakat setempat.

"Kita akan menumpukan kepada kawasan-kawasan pelancongan dalam usaha memberi kemudahanterutamanya kawasan yang dapat memberi kemudahan kepada rakyat.

"Contohnya melalui Pasar Besar Kedai Payang, Taman Tamadun Islam. Kemudian melalui laluan sampai ke Bandar Marang, Bukit Payung dan seterusnya sampai ke Hulu Terengganu," katanya.

Tag: