• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Terengganu Lancar Tahun Melawat Kenyir 2021

KUALA TERENGGANU,17 Disember - Bagi melonjakkan sektor pelancongan negeri, Terengganu hari ini mengumumkan 2021 sebagai Tahun Melawat Kenyir (TMK2021).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, inisiatif anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memilih Tasik Kenyir kerana destinasi ekopelancongan tersohor itu mempunyai pelbagai produk yang digemari pengunjung.

“Produk yang boleh diterokai oleh pelancong seperti Santuari Kelah, Kenyir Elephant Conservation Village (KECV), Taman Herba, Taman Orkid, Air Terjun Lasir dan Sungai Saok, Gua Bewah dan Gua Taat, Zon Bebas Tasik Kenyir dan pelbagai lagi.

“TMK2021 yang julung-julung kali diadakan ini akan dimeriahkan lagi dengan pelbagai program menarik sepanjang tahun sekali gus memperkukuhkan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan wajib sekiranya berkunjung ke Terengganu.

“Acara-acara yang dirancang telah memfokuskan pelbagai lapisan masyarakat dan akan menarik lebih ramai peminat sukan lasak kerana ekologi yang terdapat di Tasik Kenyir membuka ruang acara sebegini dilaksanakan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Ariffin Deraman.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penganjuran TMK2021 juga antara lain untuk merancakkan kembali ekonomi pemain pelancongan yang terbantut dek penangan COVID-19. 

“Dengan adanya penganjuran sebegini yang diatur secara berpanjangan dan penekanan kepada pelancongan komuniti setempat (community based tourism).

“Ia juga akan memberi impak positif kepada penggiat pelancongan yang terdiri daripada pengusaha bot laju, pengusaha rumah bot dan pengusaha kedai makan dan juga komuniti setempat,” tambah beliau.


Tag: