• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Lucut Hak Tanah Tidak Diusahakan Pemaju

KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Kerajaan negeri melaungkan ketegasan untuk bertindak melucutkan hak dan merampas tanah-tanah kawasan industri yang tidak diusahakan pemaju di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar memaklumkan,Terengganu ketika ini secara keseluruhannya memiliki sebanyak 29 kawasan industri berkeluasan 10,621 hektar.

"Mengikut Jawatankuasa Perancangan Negeri Terengganu pada tahun 2018, kita dapati hampir 45 peratus kawasan industri yang diberi milik tidak diusahakan di seluruh negeri.

"Peratusan ini melibatkan 776 daripada 1,705 lot tanah dan jika mereka masih tidak mengusahakannya dalam masa terdekat, kita akan ambil semula dan menawarkannya kepada mereka yang berminat untuk mengusahakannya," katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.

Jelasnya, kerajaan negeri juga tidak dijelaskan akan masalah yang menyebabkan tanah-tanah terbabit terbiar.

Oleh demikian, kerajaan negeri juga bersetuju untuk melaksanakan sistem 'Smart Map' yang akan mengemukakan status dan kedudukan tanah secara lebih terperinci sebagai penambahbaikan berhubung isu tanah.

 


Tag: