• 22 Okt 2020 | 5 Rabiul Awal 1442

Terengganu Lulus Pelantikan 104 Imam, 121 Bilal Baharu

KUALA TERENGGANU, 23 September - Kerajaan negeri meluluskan pelantikan 104 imam ketiga dan 121 bilal baharu bagi memenuhi keperluan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kelulusan itu membabitkan peruntukan kewangan sebanyak RM2,139,600 untuk kesemua imam dan bilal.

"Pelantikan dibuat di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bersesuaian dengan peranan dan keperluan dalam institusi agama di negeri ini.

"Imam dan bilal yang baharu dilantik ini pastinya akan dapat membantu imam dan bilal sedia ada, secara tidak langsung tugasan sedia ada dapat dikurangkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Terengganu hari ini.

Mengulas lanjut, beliau juga berharap agar pelantikan baharu itu akan merancakkan lagi perkembangan dakwah di Terengganu.

"Mereka boleh merancang bersama, idea-idea baharu dan segar untuk aktiviti agama akan bertambah.

"Pada akhirnya, semua ini akan memanfaatkan rakyat Terengganu selari dengan hasrat kerajaan negeri," tambah beliau.


Tag: